1. Kain untuk disulam
Semakin lembut/lembik kain yang perlu disulam manik, semakin susah proses menyulam.
Kain yang jarang seperti lace (renda) sangat memerlukan penelitian dan kadang-kadang memerlukan kain lain sebagai alas di bahagian dalam untuk meyokong jahitan sulam manik tersebut.
2. Manik
Untuk pakaian yang selalu dibasuh, gunakanlah manik yang berkualiti tinggi iaitu manik Jepun. Harganya memang lebih mahal tetapi amat bersinar, sinarannya tahan lama, saiznya konsisten, tidak mudah pecah dan lubangnya besar.
Manik Japun yang banyak di pasaran Malaysia adalah Matsuno (MGB) atau Toho. Miyuki jarang diedarkan di Malaysia kerana harganya lebih mahal.
Awas dengan penjual manik yang menjual manik Jepun tiruan (bukan dari Jepun) kerana bila sudah dipeketkan ke paket kecil, pelanggan tidak tahu jenama sebenar manik tersebut. Hanya melalui pemerhatian yang teliti dapat membezakan manik-manik tersebut.
3. Labuci
Pelbagai jenis labuci dengan pelbagai bentuk, saiz dan 'finished' dijual di pasaran.
Labuci dibuat dari sejenis bahan plastik keras.
Pelbagai negara mengeluarkan labuci seperti China, Taiwan, India tetapi mengikut pengalaman saya labuci dari Austria adalah yang paling cantik dan berkualiti. Malah Jepun juga mengeluarkan labuci sekarang tetapi saya tiada pengalaman menggunakannya lagi.
4. Jarum Sulaman Manik
Gunalah jarum yang dikhaskan untuk sulaman.Jenama yang selalu ada di pasaran adalah REGAL.
Size yang sesuai adalah 10,11 atau 12. Makin tinggi nombor jarum, makin halus jarumnya.
Jarum sulaman lebih lembut dari jarum biasa dan selepas beberapa penggunaan ia akan kelihatan bengkok sedikit. Jangan risau kerana jarum itu membiasakan dirinya dengan cara anda menyulam.
Buang jarum bila terlalu bengkok, berkarat walaupun sedikit, atau bila menyulam, anda rasa tersekat-sekat bila menarik jarum.
5. Benang
Menurut Rosita Jaafar antara benang polyester yang berkualiti adalah cap DMC (atau Rinata, dari pengilang yang sama) dan cap Kerbau (atau Coat, dari kilang yang sama).
Benang yang berkualiti tidak mudah putus dan cepat terbelit-belit dan berselirat semasa menjahit.
Salah satu cara untuk mengurangkan selirat adalah dengan meraut benang tersebut pada sebatang lilin sebelum menjahit.
Benang nylon yang halus juga boleh digunakan. Kepada yang tidak mengenali benang nylon, benangnya seperti tali pancing tetapi amat halus, seperti rambut.
Saya hanya menggunakan benang nylon bila menjahit batu acrylic kerana saya tidak mahu benang nampak di atas batu acrylic tersebut. Tetapi ada juga orang yang menggunakan benang nylon untuk menjahit manik.
Awas semasa menggosok pakaian yang maniknay dijahit dengan benang nylon. Jika tidak berhati-hati atau suhu seterika terlalu panas, ini boleh menyebabkan benang nylon terbakar dan terputus. Sia-sialah usaha berjam-jam menjahit manik tersebut.
6. Corak Sulaman
Corak sulaman bergantung kepada kemahiran dan kesabaran seseorang penjahit manik.
Jika anda baru belajar menyulam manik, cubalah corak yang senang dulu seperti manik beriring. Bila sudah yakin dan kemas, bolehlah mencuba corak yang lebih memerlukan kemahiran.
Jika anda tidak tahu mereka corak, jangan bimbang, banyak buku yang memberi contoh seperti buku sulaman manik Rosita Jaafar. Atau pergi ke forum-forum internet. Banyak corak didedahkan secara percuma dan tip-tip menyulam diberikan oleh penyulam-penyulam berpengalan luas. Ada di antara penyulam sanggup berkongsi ilmu dengan mengambil gambar cara-cara menjahit sesuatu corak. Contoh penyulam-penyulam yang pemurah ini adalah Amoi dan Yatie Din (dari forum Cari)
Daripada feedback ramai penyulam, corak Rawak atau "Random" adalah paling leceh untuk dibuat, walaupun tanggapan ramai ia adalah corak yang senang disulam.
4 years ago
1 comment:
maaf, nak tanya di mana boleh beli jarum, benang, manik dan labuci yang murah? boleh beli online tak?
Post a Comment